KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memutuskan perkembangan terbaru mengenai isu sisa buangan Lynas Malaysia Sdn Bhd dalam mesyuarat Kabinet kelak.

“Mungkin akan berlaku perbezaan pendapat mengenai isu berkenaan dan ia adalah biasa. Namun, apa yang diputuskan oleh Kabinet kelak akan dianggap keputusan rasmi kerajaan,” katanya.

Kerajaan pada Disember 2018 telah menetapkan dua syarat utama bagi Lynas untuk membolehkan mereka kembali memperbaharui lesen operasi mereka iaitu syarikat itu perlu menghantar 450,000 metrik tan sisa ‘Water Leached Purification’ (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif keluar dari negara ini.

Selain itu mereka juga perlu mengemukakan pelan tindakan bagi melupuskan satu lagi sisa buangan iaitu ‘Neutralisation Underflow Residue ‘(NUF) yang tidak mengandungi radioaktif.

Ini adalah tertakluk di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7) serta Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Selepas mematuhi syarat ini, barulah permohonan pembaharuan lesen boleh dipertimbangkan.

Sementara itu, Dr Mahathir turut ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula harga gas asli cecair (LNG) untuk mengikuti langkah Singapura berikutan penurunan harga LNG.

Beliau berkata, gas itu kini dijual pada harga bersubsidi.

“Ia sangat rendah, lebih rendah daripada negara pengeluar minyak yang besar, apa lagi yang boleh anda minta” katanya.

Menurut laporan media, harga LNG Asia telah jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh hampir tiga tahun dan tahap inventori yang tinggi di Asia Utara membendung permintaan import.

— BERNAMA