KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan diskaun tol untuk lebuh raya tertentu, tetapi bukannya pemansuhan tol dalam pengumuman yang masih menjadi teka-teki.

Sinchew Daily melapor demikian selepas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  mendedahkan bahawa Kabinet telah berbincang tentang isu tol.

Kata Muhyiddin ketika berkempen di Semenyih, hasil perbincangan Kabinet akan diumumkan menteri berkenaan dalam masa terdekat.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian ketika dihubungi Sinchew Daily membayangkan bahawa pengumuman yang dibuat tidak menyentuh pemansuhan tol.

Beliau bagaimanapun berkata, sudah terdapat satu dua syarikat konsesi lebuh raya yang bercadang untuk memberi diskaun.

“Ini merupakan dasar jangka pendek yang boleh dilaksanakan secara serta-merta dan kami akan meneliti cadangan ini. Mungkin inilah yang dimaksudkan Muhyiddin.

” Yang pentingnya, kerajaan bersedia menerima semua cadangan yang baik, tetapi saya tidak boleh mendedahkan terlalu banyak pada masa ini,” katanya.

Ditanya menteri yang mana akan membuat pengumuman itu, Baru berkata, ia mungkin dilakukan dirinya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng atau menteri lain.

Sementara itu, Guan Eng meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai pengumuman itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: