PETALING JAYA – Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) menggesa kerajaan Pakatan Harapan segera menunaikan janji pilihan raya dengan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi mengelakkan isu itu terus dipolitikkan.

Pengerusi pertubuhan itu, Datuk Ong Chiow Chuen berkata kepada Sinchew Daily, Kabinet harus membuat keputusan selari garis masa Jawatankuasa UEC yang akan menyerahkan laporan pertengahan mereka pada Mac dan laporan penuh pada Jun atau Julai.

Chiow Chuen membuat gesaan itu selepas sebuah lagi pertubuhan Cina, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) menyatakan kesediaannya untuk bersabar dan menanti dalam isu pengiktirafan UEC.

Dong Zong bagaimanapun menyatakan tidak akan membenarkan UEC digadaikan.

Kementerian Pendidikan telah menubuhkan Jawatankuasa UEC untuk mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memastikan keputusan akhir mengenai isu pengiktirafan UEC dapat diterima semua pihak.

Anggota jawatankuasa itu terdiri daripada Eddin Khoo, anak kepada pakar sejarah Tan Sri Khoo Kay Kim; Timbalan Presiden Dong Zong, Tan Yew Sing; dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim.

Chiow Chuen berkata, Dong Zong telah bertemu dengan Jawatankuasa UEC pada 16 Januari lalu dan pendirian pertubuhan itu dinyatakan secara jelas.

“Pengiktirafan UEC merupakan isu pendidikan yang tidak harus diganggu oleh faktor politik dan emosi kaum,” katanya. – MalaysiaGazette