KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan prihatin dengan masalah obesiti dalam kalangan pelajar yang semakin hari semakin meruncing.

Justeru, menterinya, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menagani isu tersebut.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang dalam proses menghasilkan satu modul latihan bagi memperkasa guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan dengan pengetahuan pemakanan yang lebih baik.

Subramaniam berkata, modul itu bagi meningkatkan taraf pemakanan para pelajar selain daripada melakukan aktiviti promosi dan pencegahan serta menjalankan intervensi asas.

“Kadar peningkatan obesiti dalam kalangan pelajar sebenarnya sangat membimbangkan dan sekiranya dibiarkan begitu sahaja ianya akan menjadi permasalahan yang sangat besar buat kita.

“Ketika ini, seramai 56,584 atau sebanyak 13 peratus pelajar tahun enam berisiko berat badan berlebihan sementara 58,294 sudah obes.

“Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh kementerian melalui Pasukan Kesihatan Sekolah medapati pada suku tahun pertama tahun 2017, seramai 7,278 murid tahun enam memiliki berat badan berlebihan sementara seramai 6,956 pula obes.

“Oleh yang demikian, kita sedang bekerjasama dengan KPM bagi mewujudkan sebuah modul yang boleh membantu pelajar dalam mengurangkan berat selain daripada menyediakan persekitaran yang lebih baik bagi pelaksanaan modul ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan di Hotel Royale Chulan, Damansara hari ini.

Menurut Subramaniam, pelbagai inisiatif yang telah dijalankan dan ada dalam peringkat pelaksanaan serta perancangan bagi mengawal masalah berkenaan.

“Pemantauan serta pendidikan secara berterusan akan turut diberikan bagi mengawal masalah obesiti dalam kalangan murid.

“Antara yang sedang dan akan dilakukan oleh KKM dan KPM ialah memberikan input teknikal mengenai makanan yang boleh dan dlarang dijual di kantin sekolah yang bertujuan mengawal penjualan makanan yang tidak berkhasiat kepada murid,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif Hidangan Berkhasiat d Sekolah (HiTS) telah diperkenalkan di mana semua sekolah digalakkan untuk menggunakan program ini.

“Persatuan Ibu Bapa dan Penjaga akan turut diperkasa melalui inisiatif ‘Cara Hidup Anda Terbaik’ (C-HAT).

“Kementerian akan terus menyokong dan memberikan kerjasama bagi setiap usaha yang dijalankan untuk mengawal masalah obesiti dalam kalangan pelajar kita di negara ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette