KUALA LUMPUR – Sebesar mana sekalipun kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, ahli parti itu diingatkan agar jangan mudah lupa atau terlalai dan kembali kepada ‘penyakit’ lama.

Malah, Setia Usaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mahu ahli parti itu menganggap mereka baharu berada di pangkal jalan setelah sekian lama tersesat di hujung jalan.

Menurutnya, perjalanan semula memerlukan masa yang panjang dan berliku.

“Jauh sekali dari kembali kepada ‘penyakit’ lama…ego, sombong, jauh dari rakyat serta segala amalan buruk seperti politik wang, politik warlords, rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya,” katanya dalam hantaran Facebook.

Paling utama, kata Annuar, UMNO perlu menjaga amanah rakyat dengan menjadikan parti itu sebagai parti yang memperjuangkan nasib rakyat dengan kembali kepada asas perjuangannya, iaitu berjuang kerana Allah demi kemuliaan agama, martabat bangsa dan kemakmuran negara.

Selain itu, tambah beliau, antara agenda terpenting sekarang ialah perbaiki perpecahan ummah yang dibawa Pakatan Harapan terutama perpecahan umat Islam dan kaum peribumi dan digantikan dengan perpaduan dan penyatuan.

“Seterusnya perbaiki polarisasi kaum yang dibawa DAP, di mana negara ini harus dibina atas asas kepelbagaian kaum melalui politik sejahtera lagi murni.

“Asas bina negara seperti yang terpasak dalam Perlembagaan perlu di semarakkan. Suasana saling menghormati hak asas semua kaum mesti terhormati agar tiada siapa rasa terancam,apa lagi kalangan majoriti,” ujar beliau

Sebagai pembangkang pula, kata Annuar, UMNO harus bertanggungjawab, jujur, sabar, gigih dan yakin dengan perjuangannya serta jangan mudah keluar saf untuk mengejar kepentingan diri sendiri. – MalaysiaGazette