KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd. sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa susulan penangkapan seorang kakitangan syarikat itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

“FGV sudah mengambil langkah-langkah untuk menguatkan proses pemberian maklumat dalaman dan untuk mengesahkan komitmen kami terhadap kelakuan tadbir urus korporat dan teladan.

“Sebahagian besar pelan transformasi FGV memfokuskan kepada masalah kebocoran dan memulihkan integriti operasi.

“Kami percaya kepada ketelusan, integriti serta kelakuan beretika dan dengan itu kami akan menanamkan nilai-nilai ini di semua peringkat, di seluruh kumpulan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hasan dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, media-media melaporkan SPRM telah menahan seorang pegawai kanan FGV bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan bernilai RM10,000.

Menurut Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette

SPRM tahan pegawai kanan FGV