KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN Semenyih malam tadi, akan menjadi titik mula kepada kebangkitan rakyat dalam menentang rejim zalim Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz berkata, kemenangan itu akan menjadi pencetus dan pembakar semangat mereka untuk meneruskan perjuangan membela dan mempertahankan agama, bangsa serta tanah air.

“Mulai detik ini rakyat menerusi BN akan menolak kerajaan PH yang zalim terhadap rakyat dengan tidak menunaikan janji yang mereka tabur sebelum ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam pada itu, Johan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh jentera PRK Semenyih, Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Badan-badan Perhubungan UMNO dan Pas Negeri, Bahagian UMNO dan Pas Selangor, parti komponen dan sahabat BN.

Katanya, semua jentera itu telah berjuang habis-habisan tanpa mengenal penat dan jemu demi memastikan kemenangan BN pada PRK Semenyih malam tadi.

“Dengan rasa rendah diri saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi, pengamal dan penggerak media rasmi dan tidak rasmi yang memberikan kerjasama dan komitmen tinggi dalam memastikan kemenangan BN.

“Tidak lupa juga kepada NGO-NGO yang telah bekerja keras sepanjang PRK ini.

“Saya juga mengambil kesempatan ini memohon ribuan ampun dan maaf di atas segala kesalahan dan kesilapan saya sepanjang kempen PRK ini berlangsung,” katanya. – MalaysiaGazette