SEMENYIH – Kerjasama UMNO dan Pas akan diperkukuhkan dalam memastikan politik tanah air menjadi politik yang baharu menerusi penyatuan dua parti Melayu terbesar itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan di Semenyih adalah hasil kerjasama UMNO dengan semua rakan khususnya Pas yang memberi laluan kepada Barisan Nasional untuk bertanding. .

“Ini merupakan satu kerjasama yang baik yang memberikan keputusan yang baik insyallah kerjasama ini akan kita terus kukuhkan dan memastikan supaya politik tanah air jadi politik yang baharu menerusi kerjasama dua parti melayu terbesar UMNO-Pas.

“Kita akan membentuk kerjasama pembangkang yang utuh dan nak lihat supaya suara rakyat akan kita bawa mahupun di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan PRK di Dewan Seri Cempaka, Taman Saujana Impian Kajang malam ini.

DUN Semenyih yang pernah menjadi kubu kuat BN tumbang kepada  Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Bagaimanapun BN dengan kerjasama Pas berjaya merampas semula kerusi tersebut apabila calonnya Zakaria Hanafi, 58, menang dengan majoriti 1n914 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Mohamad berkata, kemenangan malam ini juga menggambarkan referandum rakyat menyatakan mereka berasal kesal dan tidak puas hati dengan prestasi Pakatan Harapan setakat ini yang mana janji-janji yang ditaburkan melenakan pengundi semasa PRU14 lalu.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan bercakap kepada media selepas calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih baharu di Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka MPKJ, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 02 MAC 2019.
“Di Semenyih ujian sebenarnya ialah penduduk luar bandar, separa bandar dan bandar yang mana majoritinya merupakan pengundi Melayu da ia boleh dikatakan referendum rakyat kepada PH,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan pemilihan calon yang tepat iaitu Zakaria Hanafi mewakili BN merupakan satu kelebihan untuk kemenangan kali ini kerana pengalamannya serta kelayakannya untuk membawa suara dan permasalahan masyarakat setempat ke DUN.

Mohamad juga mengakui kerjasama Pas-UMNO turut mendatangkan faedah kepada kedua dua pihak atas objektif utama iaitu kerjasama demi kepentingan bersama khusus untuk orang Melayu Islam dan negara diurustadbir dengan baik.

“Kerjasama Pas UMNO memberi kelebihan kepada kita kalau dulunya tidak berkerjassama dan banyak kerusi Parlimen ditandingi semasa PRU14 kita rugi, majoritinya ditandingi Pas berbanding PH.

“Kita mahu menjadi semak dan imbang, kerana jika tidak ada banyak suara pembangkang yang boleh mengimbangi kerajaan yang begitu kuat, ia tak mendatangkan kebaikan kepada rakyat.

“Walaupun kami tak banyak miliki kerusi di DUN, akan mengamalkan politik matang yang mana yang baik kita sokong dan sebaliknya,” ujar beliau.

Ditanya apakah BossKu yang dibawa Datuk Seri Najib Razak menjadi faktor kemenangan kali ini, beliau berkata, sebenarnya semua pihak memainkan peranan sambil mengakui aura baharu yang dibawa Najib membantu BN rampas kerusi itu semula. .-MalaysiaGazette