BALI – Hotel-hotel di sekitar Pantai Kuta, Bali menjadi contoh kepada pusat-pusat pelancongan di seluruh Indonesia dari segi kesedaran mengenai bantuan kecemasan akibat bencana alam.

Menurut Jurucakap Agensi Bantuan Kecemasan Bencana Alam, Sutopo Purwo Nugroho, kebanyakan pengurus hotel di sepanjang Pantai Kuta telah pun menghabiskan program latihan dan pensijilan yang dilaksanakan oleh Agensi Bantuan Bencana Bali.

Kuta merupakan antara kawasan di Bali yang terdedah kepada tsunami.

“Bagaimanapun, tidak semua hotel di Bali mengambil bahagian dalam program tersebut.

“Program berkenaan merangkumi ciri-ciri keselamatan di bahagian-bahagian tertentu, pelan penyelamatan dan tempat perlindungan.

“Ini bakal membuatkan paka pekerja hotel mempunyai pengetahuan tinggi dalam bantuan kecemasan bencana alam dan boleh membantu para pelancong menyelamatkan diri,” katanya.

Tambah Sutopo, papan tanda-papan tanda yang menunjukkan kawasan yang lebih kukuh dan selamat termasuk bangunan yang tahan gempa juga merupakan antara ciri penting yang perlu dimiliki oleh hotel-hotel berkenaan.

Beliau juga menggesa pengusaha hotel untuk membina tempat pelindungan di bahagian atap kerana sekiranya berlaku tsunami “bukan sejauh mana anda perlu lari sebaliknya setinggi mana anda boleh pergi,” katanya.

Satu lagi perkara penting yang perlu ada adalah siren tsunami yang dimiliki oleh komuniti yang mana ia tidak hanya bergantung kepada dana kerajaan sahaja.

“Hanya 52 siren tsunami sahaja yang dibina oleh Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik sepanjang pesisir pantai Indonesia.

“Terdapat juga kira-kira 300 siren tsunami yang dibangunkan oleh pentadbir wilayah dan sekiranya pengusaha pelancongan turut memasang siren tsunami yang bernilai di antara AS$3,552 sehingga AS$7,000 sekilometer, pastinya ia sangat bermanfaat,” katanya lagi. – Agensi