KUALA LUMPUR – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri sesi dagangan minggu ini dengan ditutup rendah, terkesan oleh penyusutan saham wajaran tinggi terpilih diterajui TNB dan CIMB.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada paras 1,700.76, turun 6.97 mata atau 0.41 peratus berbanding 1,707.73 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk asas dibuka 7.28 mata lebih rendah pada paras 1,700.45 dan bergerak antara 1,696.71 dan 1,701.04 sepanjang hari.

Bagaimanapun, suasana pasaran kembali positif sedikit dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 486 berbanding 460, manakala 329 kaunter kekal tidak berubah, 605 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.91 bilion unit bernilai RM2.35 bilion berbanding 2.57 bilion unit bernilai RM2.97 bilion pada Khamis.

TNB turun 34 sen kepada RM13.08 selepas melaporkan pendapatan suku yang lemah bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, manakala CIMB susut 17 sen kepada RM5.68.

Bagi saham wajaran tinggi yang lain, Public Bank dan Maxis masing-masing menokok dua sen kepada RM25.02 dan RM5.39, manakala Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM9.27, IHH Healthcare naik enam sen kepada RM5.79 dan Axiata melonjak tiga sen kepada RM4.19.

Bagi saham aktif, Sapura Energy naik setengah sen kepada 31.5 sen, V.S. Industry meningkat 9.5 sen kepada RM1.09, Sino Hua-An naik 4.5 sen kepada 22.5 sen, Dayang Enterprise melonjak 18 sen kepada RM1.18, Perdana Petroleum menokok dua sen kepada 29.5 sen dan Bumi Armada turun 2.5 sen kepada 17.5 sen.

Indeks FBM Emas menyusut 28.58 mata kepada 11,798.12, Indeks FBMT 100 turun 33.79 mata kepada 11,663.95 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 6.95 mata kepada 11,725.16.

FBM 70 meningkat 17.48 mata kepada 13,961.89 dan Indeks FBM Ace naik 43.16 mata kepada 4,650.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 64.15 mata kepada 17,729.46, Indeks Perladangan meningkat 35.46 mata kepada 7,273.94, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.31 mata kepada 168.37.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.02 bilion saham bernilai RM2.17 bilion berbanding 1.74 bilion saham bernilai RM2.79 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 522.14 juta unit bernilai RM109.25 juta berbanding 504.83 juta unit bernilai RM105.61 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 358.23 juta saham bernilai RM68.27 juta berbanding 332.66 juta saham bernilai RM74.11 juta pada Khamis.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 267.97 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (309.85 juta), pembinaan (170.10 juta), teknologi (113.20 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (92.55 juta), hartanah (119.04 juta), perladangan (46.87 juta), REITs (8.72 juta), dana tertutup (45,500), tenaga (704.40 juta), penjagaan kesihatan (37.32 juta), telekomunikasi dan media (37.54 juta ), pengangkutan dan logistik (83.88 juta), dan utiliti (33.14 juta). – MalaysiaGazette