KUALA LUMPUR – Kalah dan menang adat dalam pilihan raya, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Dr. Mujahid Yusof.

Katanya, yang penting ialah proses demokrasi berjalan lancar tanpa pencerobohan dan penipuan.

Menurut beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk tidak mengeksploitasi jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya bagi menghormati peraturan dan perundangan yang dijunjung tinggi parti itu.

“Faktor calon turut merupakan signifikan untuk menyumbang faktor ‘wow’ bagi para pengundi.

“Selain itu, suasana keseluruhan prestasi kerajaan turut menentukan tahap sokongan terhadap parti mewakili pemerintah.

“Dalam melihat faktor calon, tidak dinafikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Semenyih bukan kerana faktor ‘wow’nya, tetapi ia terserlah kerana tenggelamnya calon PH di mata pengundi dan malap bintangnya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dr. Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, faktor ‘prestasi kerajaan PH’ dijadikan bahan kempen bukan kerana BN ada solusi lebih baik, tetapi ia berbentuk serangan memperkecilkan prestasi PH.

Jelas beliau, isu kos sara hidup dan bebanan kos dilihat sebagai kegagalan PH, padahal isu itu dahulu menjadi bahan kempen PH dalam manifestonya bergelut dengan BN pada PRU lalu.

“PH punya waktu untuk meyakinkan rakyat bahawa usaha mengurangkan kos bebanan hidup ada yang boleh dibuat segera, ada yang perlu masa.

“Ada juga yang perlu kajian secara terperinci sebelum membuat sebarang ‘take off’, tetapi perkara ini tidak dirasai.

“Penguasaan naratif Melayu Islam oleh UMNO dan Pas kelihatan dominan walaupun ia dilihat tidak semestinya baik untuk Melayu, Islam,” katanya.

Beliau berkata, UMNO dan Pas berleluasa mengeksploitasi isu Tabung Haji, hina Nabi dan dominasi DAP.

Cabarannya, kata beliau, kepada PH dalam PRK Rantau di Negeri Sembilan nanti ialah PH tetap akan bergelut untuk mengatasi undi Melayu bagi mempertingkatkan 20 peratus undi yang telah hilang dalam dua PRK sebelum ini.

“Dua pendekatan iaitu mengenai kos sara hidup dan retorik Islam-Melayu akan menjadi asas strategik yang perlu ditangani secara berkesan dalam kempen di PRK Rantau nanti.

“Syabas kepada pemenang dan terima kasih pengundi Semenyih kerana melaksanakan tanggungjawab anda.

“PH perlu segera membuat rumusan kekalahan dengan melihat lebih dalam segala kelemahan yang ada dan saya yakin dapatan yang diperolehi akan membantu proses pemulihan PH bagi bertempur di Rantau nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette