SEMENYIH – Barisan Nasional (BN) mengakui kerjasama politik antara parti komponennya, UMNO dengan Pas pada masa ini dilakukan secara tidak rasmi dan berdasarkan kesefahaman sahaja.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun berkata, bagi tujuan itu, satu mesyuarat khas antara kedua-dua jawatankuasa tertinggi parti itu akan diadakan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

“Kerjasama antara Pas dan UMNO ini sekarang ini memang tak formal, tapi kita telah bersetuju di peringkat kedua-dua parti untuk menjalinkan hubungan secara formal, cari satu jalan kesatuan.

“Kita telah bersetuju untuk mengadakan suatu perundingan dan kerjasama di peringkat pusat dan kita akan mengadakan mesyuarat tersebut selepas selesai PRK Semenyih.

“Saya pun sudah bersetuju tarikh yang dicadangkan kepada pihak Pas supaya jawatankuasa tertinggi peringkat UMNO dan Pas di mana saya dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan mempengerusikannya,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengundi Sungai Jai, di sini, hari ini.

Mohamad juga menjangkakan satu jawatankuasa khas bakal ditubuhkan di peringkat pusat sebagai jambatan penghubung kepada UMNO dan Pas berteraskan agenda penyatuan ummah serta kepentingan orang Melayu dan Islam.

“Bukan soal politik sangat tapi lebih kepada kelangsungan orang Melayu di tanah air sendiri dan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Institusi Melayu dipertahan dan diperkasakan serta kelangsungannya perlu dijaga dan kita mesti ada satu cara untuk kita menjaga kelangsungannya

“Adalah lebih afdal jika kedua-dua parti orang Melayu yang terbesar dalam negara ini menjalinkan satu bentuk kerjasama secara formal untuk pastikan supaya agenda ini dapat kita jayakan,” katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden berkata, jawatankuasa sama di peringkat negeri, bahagian dan di akar umbi akan diwujudkan bagi memperkukuhkan agenda penyatuan ummah itu.

“Kita nak menjadikan agenda perpaduan dan penyatuan ummah ini dapat kita laksanakan secara setertib yang mungkin.

“Ada terma dan rujukan, jawatankuasa akan menilai apa segi yang perlu kita nilai dan dibawa dan dirundingkan bersama.

“Maklumlah dua parti ini lebih 60 tahun tidak bersama, dulu asalnya sama, tapi bila berpecah Pas daripada UMNO, maka kebersamaan itu tiada lagi,” katanya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu juga berkata, jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu turut berperanan untuk mencari titik persefahaman antara dua parti itu.

“Kita nak cari di mana titik perbezaan, bila kita sudah senaraikan titik perbezaan itu, kita cari macam mana nak menyelesaikan perbezaan-perbezaan ini.

“Bila sudah ada esok (jawatankuasa pusat) kita akan buat di peringkat negeri dan bahagian supaya tidak timbul kecelaruan (kerjasama),” jelasnya.

Katanya lagi, selepas ini tidak akan timbul lagi soal kerjasama UMNO-Pas dikaji semula sedangkan ia sengaja ditimbulkan untuk menjejaskan pakatan pembangkang.

“Sekarang pun ramai yang persoalkan hingga dua hari lepas saya telah minta Setiausaha Agung Pas supaya menafikan kerjasama UMNO akan dibuat kaji semula.

“Tak timbul nak mengkaji semula (hubungan Pas-UMNO), tiada mesyuarat biro politik yang disebut tersebut, tiada disebut nak kaji semula hubungan Pas dengan UMNO.

“Itu semua strategi pihak yang nak memecahbelahkan hubungan baik yang terjalin antar UMNO dan Pas.

“Banyak pihak risau di atas hubungan yang terjalin kerana mereka melihat jika kerjasama akrab dapat kita jalinkan ia adalah satu arena politik baru di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette