AMPANG – Kerajaan Pakatan Harapan cuba sedaya upaya untuk mengurangkan lantikan politik dalam agensi-agensi kerajaan sebagaimana yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya dahulu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun berkata, mungkin sesetengah lantikan itu adalah berdasarkan merit atau kelayakan seseorang individu itu.

“Lantikan politik ini memang kita komited kurangkan sebaik mungkin dan itu adalah sebahagian penyataan yang diberikan kepada kami.

“Tapi yang sesetengah lantikan itu mungkin atas dasar kelayakan yang terpaksa dibuat kerajaan.

“Lagipun kebanyakan orang politik ini tidak memegang jawtaan tinggi.

“Kami sememangnya sangat komited dalam mengurangkan perlantikan berasaskan politik dalam kerajaan berusia sembilan bulan ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan buah limau mandarin kepada penduduk di Pasar Pandan Perdana dan Pasar Pagi Taman Muda, Pandan sempena sambuta Tahun Baru Cina Selasa ini.

PH telah dikecam hebat oleh pelbagai pihak termasuk pengundi yang kecewa dengan lantikan politik.

Isu pelantikan ahli Parti Amanah Negara Nik Omar Nik Abdul Aziz dan ahli DAP Sheikh Omar Ali sebagai ahli Lembaga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menerima kritikan hebat pelbagai pihak.

Begitu juga pelantikan bekas ahli DAP Hew Kuan Yew sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China.

Pelantikan politik itu tidak terhenti disitu, apabila sebelum ini pelantikan Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menerima kecaman hebat.

Dalam pada itu beliau turut diminta mengulas mengenai 60 peratus Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi PH sejak menang PRU14 lalu.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata beliau sedia maklum mengenai perkembangan itu dan sedang mengambi langkah ke arahnya.

Beliau mengakui sememangnya negara ini majoriti pengundi Melayu dan tinjauan tersebut perlu dipandang serius.

“Sebagai kerajaan baharu selepas 60 tahun, banyak yang perlu dilakukan kami.

“Kami dalam kedudukan untuk mengenalpasti situasi sebenar dan perlu menyeimbangkan keadaan supaya kestabilan ekonomi dan sosial masyarakat dikekalkan,” tegasnya.-MalaysiaGazette