KUANTAN – Pelantikan 10 ahli politik sebagai Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) tidak seharusnya dipolemikkan menjadi isu besar, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau menambah apa yang penting ialah pemilihan mereka dibuat dengan latar belakang sebagai aktivis daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) selain memahami prinsip yang diamalkan kerajaan.

“Mereka bukan berdiri hanya di atas kepentingan politik semata-mata tetapi juga mempunyai kepakaran… Orang memandang dari aspek ahli politik kerana mereka mempunyai jawatan (dalam parti).

“Saya harap isu ini tidak dipanjangkan lagi. Lagipun lantikan masih tidak habis (kerana) ini baru first round (pusingan pertama),” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan murid miskin dan pertandingan kaligrafi daerah Kuantan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tanah Putih di sini, hari ini.

Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan juga berpendapat lantikan anggota pengarah YADIM adalah ‘pilihan yang tepat’ dan semua mereka mempunyai kepakaran yang boleh disumbangkan kepada pembangunan YADIM.

“Jangan perkecilkan peranan mereka. Kita juga akan mengenal pasti NGO lain yang berpotensi untuk diberi peluang. Saya sendiri akan turut memantau supaya tidak ada NGO yang ketinggalan,” katanya.

Baru-baru ini, timbul isu lantikan 10 ahli politik ke dalam lembaga pemegang amanah YADIM dipersoalkan, khususnya lantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Sheikh Omar Ali yang merupakan anggota DAP.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa lantikan mereka, walaupun sebagai ahli politik, adalah berdasarkan merit, kelayakan dan pengalaman.

— BERNAMA