AMPANG – Kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa seramai 142 kanak-kanak ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 mengejutkan pemimpin nombor dua negara.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menganggap penahanan itu sebagai satu perkara serius yang perlu ditangani segera.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menegaskan beliau akan segera memanggil kementerian yang bertanggungjawab dan polis bagai mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya.

“Saya diberitahu sebenarnya hanya seorang sahaja kanak-kanak berusia dibawah 18 tahun yang masih ditahan dibawah POCA dan dikatakan dia terlibat dalam jenayah berat samun bersenjata dan menjalani tahanan dua tahun di Pusat Tahanan Khas Kluang.

“Sangat mengejutkan saya, tetapi saya sudah berbincang dengan kementerian saya, namun kita rasa mungkin perlu melihat kembali supaya tidak disamakan atau diletakkan satu daerah dengan banduan lain yang dituduh di bawah akta sama.

“Mana-mana kanak-kanak juvanal tidak seharusnya didedahkan dengan persekitaran sebegini, walaupun alasannya menjaga keselamatan negara dan rakyat, tetapi saya rasa kanak-kanak sebegini perlu diberi peluang kedua untuk menjalani proses rehabilitasi kembali ke pangkuan masyarakat.

“Kementerian saya akan mengesyorkan kepada kementerian relevan dalam perkara ini supaya mengkaji semula tahanan juvana dalam perkara sebegini,” ujar beliau kepada pemberita hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu mengedarkan buah limau mandarin kepada orang ramai di pasar pagi Pandan Perdana dan Taman Muda di sini.

Beliau turut ditanya sama ada perlu membebaskan 27 orang kanak kanak bawah 18 tahun yang masih menjalani sekatan di bawah pengawasan polis di luar penjara menerusi Peranti pemantauan Elektronik (EMD).

Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu juga berkata peranti itu hanya dimasukkan untuk mereka yang hanya diluluskan atau ditapis Lembaga Pencegahan Jenayah yang mengatakan kanak-kanak yang terlibat jenayah serius sahaja.

“Namun saya membiarkan kepada polis dan kementerian yang relevan untuk bertindak dalam perkara ini,” ujarnya ringkas. – MalaysiaGazette.